Beby Kehilangan Diri

Hujan turun lebat hari itu.dan Beby terperangkap di dalamnya. lalu menghakis diri Beby perlahan-lahan.mula memudar, lalu memadamkan riwayat hidup Beby, mencarik-carik jati dirinya, hingga perlahan-lahan yang tinggal hanya satu kata nama: Beby Boo.

Apa rasanya kehilangan diri? Mungkin semacam kehilangan air krim yang paling kita gemari, yang satu waktu itu kita pegang, dan di waktu berikutnya ia jatuh, bersepai di atas lantai. Lalu dikerumun semut.

Lihat Kasut Warna Putih Tu

Dalam pelukan dia kata padaku yang dia pernah bikin aborsi, dan aku tanya bila, bila, bila, lalu dia tolak aku dan kata tahun lalu, tahun lalu. Di Kuala Lumpur, waktu itu aku belum pernah kenal bentuk bayangnya di jam 3 waktu dia bersandar di balkoni di payungi langit merah jambu jingga, Dengan air mata, katanya jangan tinggalkan dia, tapi aku keluar ke ruang tamu menonton cerita bersiri TV yang aku sendiri tak tahu hujung pangkalnya. Dia keluar, turuti aku seminit kemudian, dan katanya, ayuh kita tonton Twelve Monkeys, atau Dokumentari tentang kehancuran sejagat yang dihos oleh AL Gore itu, dan aku masukkan DVD dan kami menonton bersama di atas sofa, kepalanya disandar dibahuku dan dia terlena di situ.

Separuh Jantungku adalah Miliknya

Terik. Dari zink stesyen bas. Mataku tersilau. Kosong berhablur, dunia ini tiada penghuni, kecuali seorang penjual tiket. Dia tidur di atas lengannya, dibuai mimpi-mimpi stroberi. Aku langkah ke mesin Coke. Aku masukkan syiling. Segalanya berlaku dalam gerak perlahan, termasuklah dentingnya tin dalam ruang kutipan.

Waktu itulah dia tegur aku, antara dentuman jatuh tin Coke, dan mimpi stroberi penjual tiket. Dia perempuan. Berkaca mata ranggi. Rambut ikal diikat, dan bibir merah yang minta dicium berkali-kali.

Aku ambil tin minuman yang jatuh. Encik, katanya, dan aku menoleh ke arahnya. Antara aku dan dia, walaupun sekitar 1 meter, aku rasa seperti tiada jarak.

Katanya, saya minta maaf, tapi separuh jantung Encik milik saya. Dia keluarkan sehelai kertas, lengkap dengan cap mohor rasmi dan kata-kata penuh istiadat birokrasi, yang menyatakan bahawa, ya, separuh jantung aku adalah milik dia.

Dan dia keluarkan sebilah pisau dari beg LVnya, lalu dia potong dada aku dan ambil separuh jantung aku.

Kemudian dia pergi.

Perempuan Yang Mahu Hidup Di Bawah Payung

Di balkoni petang itu, buat kali ke berapa entah, dia pandang ke langit. Di tingkat sebelas, sebelah tangan memegang cawan kopi yang baru saja dikisar, bau kopi bercampur baur dengan aroma petang - seks sumbang di atas sofa, rumput yang mati dilenyek tayar kereta, dan budak-budak membunuh belalang: dosa-dosa yang besar, kecil serta sederhana.

Langit yang terang, katanya, membosankan, mematikan misteri. Dan katanya dia mahu hujan turun, selebat-lebatnya supaya dia boleh hidup di bawah payung dan memandang ke kabur rintikan laju, dan membayangkan satu langsir gergasi, yang memisahkan dunia ini dengan dimensi yang satu lagi.

Mungkin di sebelah sana, kita akan nampak musytari, atau bidadari, katanya lagi, sambil menghirup kopi perlahan-lahan.

Seekor Kucing

Dari ekor matanya, ia memerhati rama-rama yang cuba hingap daun-daun yang ditiup angin dan ia teringat yang satu masa lalu ia pernah jadi manusia tapi hanya satu hari saja kerana hari hari ia seekor kucing.

Stoking Merah

Pagi itu dia tak mau fikir tentang stokin merah, dan buku Laclau. Dia minum kopi tanpa gula, dan memandang keluar, rumput hijau membentang laman, dirapi elok. Ini bukan rumah aku, fikirnya.

Ada tapak melangkah makin kuat ke arahnya. Dia rasa belakangnya disentuh, bukan, dikilas saja, atau mungkin itu hanya imaginasinya. Tak memandang belakang, dia dengar peti sejuk dibuka, dan diselongkar.

Dia membayangkan tikus yang besar. Tikus maha gergasi membuka peti ais, menyelongkar dan membaham segala yang ada. Terlalu kerap dia membayangkan yang bukan-bukan, akhir-akhir ini.

Terlalu kerap.

Masih tak menoleh, dia dengar kerusi ditarik. Gelas dituang air.

Dia tahu stokin merah di belakangnya. Tapi masing-masing tak mahu mengaku, seperti ada kesucian yang akan luluh jika mereka memperakui diri dalam kontiuum-ruang-masa yang sama.

Pagi ini.

Matahari pudar menyelit lesu, hujan mengancam.

Kalau boleh dia tak mahu pulang. Pulang dalam hujan, dipukul rintik-rintik hujan, sendirian.

Itu.

Itu bayangan paling menyedihkan untuk dia.

Kesuskesah si stokin merah di belakangnya. Sekali lagi terasa bahunya dikilas, dan tapak kaki semakin lenyap.

Ini peluang terakhirnya.

Dan antara mahu bersuara dan tidak

Pencerahan IV

Kami di atas bukit, membayangi Kuala Lumpur yang sedang terbakar.

A, aku kata, you have... something... kat muka. Terus dia kelam kabut selongkar beg. Dia keluarkan cermin mekap dan dia tinjau mukanya. Ha-ah, dia kata. Tolong, please, ambikkan. Don't move, aku kata. Dia ketapkan bibir, kemudian dia kata ok. Lalu, perlahan-lahan aku tarik keluar sebelah matanya. Kini yang tinggal lohong kosong yang infinit di situ. Mudah sangat untuk jatuh cinta dengan lohong kosong itu, aku fikir.

So, aku tanya, nak buat apa dengan benda ni? Entah. Dia angkat bahu dan capai cermin mekap, membetulkan rambutnya. Aku belek-belek matanya itu, kemudian aku letakkan mata itu di atas dahiku.Kemudian aku tutup dua mataku, dan melihat dengan mata baru itu. Api yang membakar Kuala Lumpur menari-nari di depanku, berselirat dengan asap hitam pekat. Dia bersandar pada bahuku, dan kami melihat Kuala Lumpur perlahan-lahan menjadi debu.